Tuesday, July 04, 2006

Krisis Dr Mahathir - PM: Salah seorang mesti bersalah

Artikel ini ialah luahan hati Menteri Besar Kelantan,YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.


Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mereka sudah menghentikan projek pembinaan masjid dan monorel di Putrajaya. Pada saya kerajaan mempunyai banyak wang dan mereka boleh menggunakan sebahagian dana Petronas untuk meneruskan pembangunan Putrajaya. (Petikan Berita Harian - 21 Jun 2006).

Tahun ini, Petronas memperolehi RM83 bilion dan membelanjakan RM13 bilion untuk subsidi harga petrol awam dan ia masih mempunyai kira-kira RM70 bilion, di mana kita akan membayar cukai RM30 bilion, dan jika kerajaan mahukannya, Petronas mesti bagi kerana ia milik kerajaan.

"Beliau bukanlah pilihan saya. Saya telah membantu ramai orang tetapi mereka telah menikam saya." - Itulah antara empat dari lambakan kritikan pedas Tun Dr Mahathir yang sengaja saya petik untuk memulakan komentar ini.

Walaupun ada pihak cuba meredakan suasana dengan menamakan ribut ini sekadar riak kecil di cawan, tetapi apakah kata-kata kesimpulan bekas Perdana Menteri yang berbunyi, 'saya tidak boleh lagi berdiam diri' boleh menutup kemungkinan satu letusan raksaksa berpedomankan asap tebal yang sedang meruap di puncak Merapi?

Sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengisytiharkan perang, bahkan menghalau Tun Dr Mahathir keluar dari Umno, sementara Tun pula membuat bertanya balas berbunyi, siapa beliau untuk menghalau saya, cukup menghantar krisis dalaman Umno pada pusingan ini ke balai penghadapan pentas pertikaman terbuka.

Saya suka melihat krisis ini dari persoalan puncanya. Umno lahir dari dapur faham sekular. Sejak dari dahulu, dia bukan parti yang meletakkan Islam, iman, taqwa, pahala, dosa dan syurga serta neraka sebagai paksi landasan.

Islam pada orang kebangsaan tidak lebih dari faktor kebetulan semata-mata. Ertinya, jika perlu Islam itu digunakan, maka ia halal ditunggang. Jika perlu Islam itu dibaju melayukan maka Islam itu boleh diarak keliling kota untuk berpeluh setahun sekali di pagi sambutan Maulidur Rasul.

Pada Umno, Islam tidak lebih dari sebuah agama ritual yang boleh dikurung ke dalam sangkar. Ia lalu disangkut berhias di rumah seorang tuan bernama Umno. Sebab itu, kononnya, kerana sayanglah, Islam itu diberkas kemas dalam sebalut kain merah putih berlambangkan keris.

Ertinya di sini, Umno salah dari asal lagi sewaktu pelan rumah dilakar oleh tok-tok sidangnya. Bermula dari kesalahan itulah, Umno terus mengukir dosa dengan mengetepikan al-Quran dan memahat perlembagaan mereka dari keris emosi Melayu.

Dengan sikap itulah juga, Umno disenangi penjajah. Bermula dari situlah juga, parti-parti di Tanah Melayu pada waktu itu diizinkan berjuang dari tiga jalur bangsa dalam petak-petak kebangsaan sempit bernama Umno, MCA dan MIC.

Maka, berlakulah proses "divide and rule." Jika Melayu boleh membela Melayunya, maka jangan disalahkan Cina jika mereka pun membela bangsanya. Begitu juga dengan MIC bagi kaum India.

Lantaran itu, sejak merdeka hingga ke mari, walaupun sudah serak dan hampir naik muak rakyat mendengar seruan perpaduan dan hidup aman berasaskan prinsip muafakat, tetapi suasana curiga antara kaum tetaplah masih menjadi fenomena.

Ia berlaku dan kadang-kadang disengajakan juga agar berlaku. Setiap kali pilihan raya umum, kita sering saksikan perebutan kerusi yang serius antara pemimpin-pemimpin Melayu, Cina dan India.

Ini disahkan sendiri dari kenyataan akhbar Pengerusi BN, merangkap Presiden Umno terkini berbunyi, "menjadi kelaziman parti?parti politik (Umno, MIC dan MCA) memperjuangkan perkara yang ada hubung kait dengan kepentingan kaum tertentu seperti ekonomi." - Berita Minggu,25 Jun 2006.

Piawai mudah mengukur status degup jantung perpaduan kaum di Malaysia ialah rekod pencapaian DEB yang gagal menepati sasaran. Kini, targetnya ditolak lagi jauh kehadapan ke tahun 2015 untuk melekakan orang Melayu.

Kita sesungguhnya hanya sedang menangguh dan menunda sebuah kegagalan. Di sepanjang proses penundaan itulah seluruh jati diri ugama, bangsa, bahasa, tanah, pasir dan air akan dilongkah dan 'digelupaskan' dari kendung kita satu persatu.

Jika perlu sangat saya bercakap mengenai nasib Melayu, lihatlah saja fenomena murtad di kalangan orang Melayu, sekolah agama rakyat orang Melayu, bahasa ibunda orang Melayu, tulisan Jawi orang Melayu, biasiswa orang Melayu, kuota orang Melayu dan kedudukan taraf sosio-ekonomi rata-rata orang keturunan Melayu.

Orang India pun merungut kegagalan pencapaian yang sama sementara masyarakat kaum Cina pun masih terus tidak berpuas hati dengan itu dan ini. Ini bermakna di sepanjang pemerintahan Umno/BN, kita telah gagal secara berpanjangan.

Yang cuma tidak mengaku, tidak merungut, bahkan mempertahankan Umno membuta tuli ialah kroni Umno yang mencipta peluang dan memborong peluang dari hasil dasar Umno yang bertopengkan kepentingan rakyat.

Itu yang sering meletupkan isu satu demi isu. Ada yang darihal permit teksilah. Ada yang berpunca dari pemberian AP lah. Ada yang mengarahkan ketua jabatan tutup sebelah matalah.

Ada yang dikatakan melarikan duit bantuan PPRT golongan termiskinlah. Ada yang merebut peluang kontraktor Kelas F lah. Bahkan, bangunan MATRADE yang sudah berusia sembilan tahun sampai kini masih tidak dapat diduduki dan melibatkan peruntukan tambahan hampir RM100 juta itu pun ada kaitan dengan amalan pemberian kontrak secara rundingan sesama sendiri atau pemberian terus.

Kini, mantan Perdana Menteri sering merungut yang ramai orang cuba menyekat beliau dari bercakap. Dalam banyak hal, ketaatan sering berpihak kepada Perdana Menteri sedia ada dan tidak kepada kebenaran (Al-Haqqu).

Pada saya, ini mudah untuk di fahami. Ia amat berkaitan dengan dasar Umno yang 'tidak berdasar.' Dalam misi mengherdik dan menindih PAS, Umno selama ini telah mengajar seluruh pemimpin dan rakyat dari pelbagai peringkat tentang betapa bijaknya memilih pihak yang kaya, berpengaruh dan berkuasa.

Untuk itu, rakyat diasuh taatkan pemimpin yang dapat menghadiahkan tender, permit, subsidi, pinjaman, kontrak dan tawaran sebut harga. PAS sering diherdik dengan kata-kata, "apa yang kerajaan PAS boleh buat."

Sekarang, apabila Tun Dr Mahathir sudah tidak berkuasa, beliau sedang 'dizalimi' oleh dasar-dasar yang pernah diukirnya. Ini sangat biasa bagi mana mana parti yang tidak mengiktiraf kekuasaan Allah SWT.

Apabila Tuhan sudah tidak dijadikan kiblat oleh Umno, maka apa lagi yang ada selain daripada bertuhankan hawa nafsu yang sesat dan akan menyesatkan diri dan negara.

Firman Allah SWT. Bermaksud, "Terangkanlah kepadaku orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?" (Surah Al-Furqaan Ayat 43).

Bagaikan seorang nakhoda yang ditinggalkan kelasi, beliau telah tersadai di sebuah pulau. Laungan dan panggilan beliau kelihatan semakin sayup. Sama banyak, antara didengar dan tidak, beliau kelihatan semakin letih dan berusaha keras mencari kawan baru untuk memperkemaskan kedudukan.

Bagi PAS, kita tiada masalah untuk mendengar. Kita tiada masalah untuk berada sepentas dan bertegur sapa. Sebagaimana Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah kita raikan sewaktu beliau dizalimi di suatu waktu, kita juga boleh menghulurkan simpati yang sama jika Tun Dr Mahathir mempunyai merit yang mencukupi.

Bagai ditegaskan Dato' Seri Presiden PAS, kita sedia mendengar dan meneliti setiap segi dari perkembangan mutakhir. Jika Baginda SAW boleh menerima suaka politik (jiwar) dari seorang bukan Islam sewaktu kembali dari Taif dan pernah pula menerima bantuan dari Abdullah bin Uraiqit, juga seorang bukan Islam untuk menjayakan misi hijrah, maka tidak salah untuk kita membuka langkah ke hadapan dalam pelbagai kemungkinan.

Sebenarnya, mengikuti episod-episod pertikaian hujah antara kem Presiden Umno dengan kem mantan Presiden Umno seakan-akan sama seperti menyemak buku rekod pencapaian anak kita yang dipenuhi dengan tanda-tanda pangkah berdakwat merah.

Ia mendedahkan rakyat tentang satu perkara saja iaitu pemimpin dan parti Umno yang gemar berkhianat. Misalnya, jika di ikutkan Tun Dr Mahathir, kenaikan petrol itu boleh dielakkan sedangkan harga yang telah dinaikkan kerajaan Umno/BN telah dan sedang menghimpit kehidupan rakyat.

Bagi Tun juga, kita tidak memerlukan Islam Hadhari. Yang kita cuma perlukan hanyalah Islam. Dari dua contoh inipun sudah cukup untuk menunjukkan yang Umno sedang meraba-raba dan sedang memimpin rakyat di dalam gelap. Itu baru di dunia.

Kini, perhatilah benar-benar betapa terdapatnya dua set jawapan yang saling mahu dibuktikan benar dan mahu memerangkap, mengeliru dan mempengaruhi kesimpulan rakyat.

Pada saya, mustahil akan ada dua jawapan yang sama-sama betul dalam ketika yang sama. Salah satu mesti salah. Seperti dalam isu jambatan bengkok, bagaimana boleh rakyat menyaksikan keputusan yang tidak pernah mantap.

Sekali buat, sekali tak buat. Sudahnya, tak pasal-pasal, Gerbang Perdana terpaksa diberi pampasan RM300 juta. Duit siapa lagi jika tidak duit rakyat!

Di sinilah rakyat yang semakin cerdik boleh menilai kemanakah mereka telah dipandu selama ini. Rupanya, mereka diajak bersiar-siar dalam sebuah perjalanan mimpi berterowong yang tidak menjanjikan cahaya di hujungnya.

Demikianlah, wawasan 2020 atau lain lain slogan yang telah dicipta dan akan dicipta dari semasa ke semasa. Jika selama ini, rakyat selalu melihat ibu haruan yang ghairah memakan anak-anaknya tetapi kini seakan-akan tiba giliran anak-anak haruan pula yang menyerang. Kali ini, mereka sedang cuba menelan ibunya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home