Tuesday, July 04, 2006

Krisis Dr Mahathir - PM: Salah seorang mesti bersalah

Artikel ini ialah luahan hati Menteri Besar Kelantan,YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.


Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mereka sudah menghentikan projek pembinaan masjid dan monorel di Putrajaya. Pada saya kerajaan mempunyai banyak wang dan mereka boleh menggunakan sebahagian dana Petronas untuk meneruskan pembangunan Putrajaya. (Petikan Berita Harian - 21 Jun 2006).

Tahun ini, Petronas memperolehi RM83 bilion dan membelanjakan RM13 bilion untuk subsidi harga petrol awam dan ia masih mempunyai kira-kira RM70 bilion, di mana kita akan membayar cukai RM30 bilion, dan jika kerajaan mahukannya, Petronas mesti bagi kerana ia milik kerajaan.

"Beliau bukanlah pilihan saya. Saya telah membantu ramai orang tetapi mereka telah menikam saya." - Itulah antara empat dari lambakan kritikan pedas Tun Dr Mahathir yang sengaja saya petik untuk memulakan komentar ini.

Walaupun ada pihak cuba meredakan suasana dengan menamakan ribut ini sekadar riak kecil di cawan, tetapi apakah kata-kata kesimpulan bekas Perdana Menteri yang berbunyi, 'saya tidak boleh lagi berdiam diri' boleh menutup kemungkinan satu letusan raksaksa berpedomankan asap tebal yang sedang meruap di puncak Merapi?

Sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengisytiharkan perang, bahkan menghalau Tun Dr Mahathir keluar dari Umno, sementara Tun pula membuat bertanya balas berbunyi, siapa beliau untuk menghalau saya, cukup menghantar krisis dalaman Umno pada pusingan ini ke balai penghadapan pentas pertikaman terbuka.

Saya suka melihat krisis ini dari persoalan puncanya. Umno lahir dari dapur faham sekular. Sejak dari dahulu, dia bukan parti yang meletakkan Islam, iman, taqwa, pahala, dosa dan syurga serta neraka sebagai paksi landasan.

Islam pada orang kebangsaan tidak lebih dari faktor kebetulan semata-mata. Ertinya, jika perlu Islam itu digunakan, maka ia halal ditunggang. Jika perlu Islam itu dibaju melayukan maka Islam itu boleh diarak keliling kota untuk berpeluh setahun sekali di pagi sambutan Maulidur Rasul.

Pada Umno, Islam tidak lebih dari sebuah agama ritual yang boleh dikurung ke dalam sangkar. Ia lalu disangkut berhias di rumah seorang tuan bernama Umno. Sebab itu, kononnya, kerana sayanglah, Islam itu diberkas kemas dalam sebalut kain merah putih berlambangkan keris.

Ertinya di sini, Umno salah dari asal lagi sewaktu pelan rumah dilakar oleh tok-tok sidangnya. Bermula dari kesalahan itulah, Umno terus mengukir dosa dengan mengetepikan al-Quran dan memahat perlembagaan mereka dari keris emosi Melayu.

Dengan sikap itulah juga, Umno disenangi penjajah. Bermula dari situlah juga, parti-parti di Tanah Melayu pada waktu itu diizinkan berjuang dari tiga jalur bangsa dalam petak-petak kebangsaan sempit bernama Umno, MCA dan MIC.

Maka, berlakulah proses "divide and rule." Jika Melayu boleh membela Melayunya, maka jangan disalahkan Cina jika mereka pun membela bangsanya. Begitu juga dengan MIC bagi kaum India.

Lantaran itu, sejak merdeka hingga ke mari, walaupun sudah serak dan hampir naik muak rakyat mendengar seruan perpaduan dan hidup aman berasaskan prinsip muafakat, tetapi suasana curiga antara kaum tetaplah masih menjadi fenomena.

Ia berlaku dan kadang-kadang disengajakan juga agar berlaku. Setiap kali pilihan raya umum, kita sering saksikan perebutan kerusi yang serius antara pemimpin-pemimpin Melayu, Cina dan India.

Ini disahkan sendiri dari kenyataan akhbar Pengerusi BN, merangkap Presiden Umno terkini berbunyi, "menjadi kelaziman parti?parti politik (Umno, MIC dan MCA) memperjuangkan perkara yang ada hubung kait dengan kepentingan kaum tertentu seperti ekonomi." - Berita Minggu,25 Jun 2006.

Piawai mudah mengukur status degup jantung perpaduan kaum di Malaysia ialah rekod pencapaian DEB yang gagal menepati sasaran. Kini, targetnya ditolak lagi jauh kehadapan ke tahun 2015 untuk melekakan orang Melayu.

Kita sesungguhnya hanya sedang menangguh dan menunda sebuah kegagalan. Di sepanjang proses penundaan itulah seluruh jati diri ugama, bangsa, bahasa, tanah, pasir dan air akan dilongkah dan 'digelupaskan' dari kendung kita satu persatu.

Jika perlu sangat saya bercakap mengenai nasib Melayu, lihatlah saja fenomena murtad di kalangan orang Melayu, sekolah agama rakyat orang Melayu, bahasa ibunda orang Melayu, tulisan Jawi orang Melayu, biasiswa orang Melayu, kuota orang Melayu dan kedudukan taraf sosio-ekonomi rata-rata orang keturunan Melayu.

Orang India pun merungut kegagalan pencapaian yang sama sementara masyarakat kaum Cina pun masih terus tidak berpuas hati dengan itu dan ini. Ini bermakna di sepanjang pemerintahan Umno/BN, kita telah gagal secara berpanjangan.

Yang cuma tidak mengaku, tidak merungut, bahkan mempertahankan Umno membuta tuli ialah kroni Umno yang mencipta peluang dan memborong peluang dari hasil dasar Umno yang bertopengkan kepentingan rakyat.

Itu yang sering meletupkan isu satu demi isu. Ada yang darihal permit teksilah. Ada yang berpunca dari pemberian AP lah. Ada yang mengarahkan ketua jabatan tutup sebelah matalah.

Ada yang dikatakan melarikan duit bantuan PPRT golongan termiskinlah. Ada yang merebut peluang kontraktor Kelas F lah. Bahkan, bangunan MATRADE yang sudah berusia sembilan tahun sampai kini masih tidak dapat diduduki dan melibatkan peruntukan tambahan hampir RM100 juta itu pun ada kaitan dengan amalan pemberian kontrak secara rundingan sesama sendiri atau pemberian terus.

Kini, mantan Perdana Menteri sering merungut yang ramai orang cuba menyekat beliau dari bercakap. Dalam banyak hal, ketaatan sering berpihak kepada Perdana Menteri sedia ada dan tidak kepada kebenaran (Al-Haqqu).

Pada saya, ini mudah untuk di fahami. Ia amat berkaitan dengan dasar Umno yang 'tidak berdasar.' Dalam misi mengherdik dan menindih PAS, Umno selama ini telah mengajar seluruh pemimpin dan rakyat dari pelbagai peringkat tentang betapa bijaknya memilih pihak yang kaya, berpengaruh dan berkuasa.

Untuk itu, rakyat diasuh taatkan pemimpin yang dapat menghadiahkan tender, permit, subsidi, pinjaman, kontrak dan tawaran sebut harga. PAS sering diherdik dengan kata-kata, "apa yang kerajaan PAS boleh buat."

Sekarang, apabila Tun Dr Mahathir sudah tidak berkuasa, beliau sedang 'dizalimi' oleh dasar-dasar yang pernah diukirnya. Ini sangat biasa bagi mana mana parti yang tidak mengiktiraf kekuasaan Allah SWT.

Apabila Tuhan sudah tidak dijadikan kiblat oleh Umno, maka apa lagi yang ada selain daripada bertuhankan hawa nafsu yang sesat dan akan menyesatkan diri dan negara.

Firman Allah SWT. Bermaksud, "Terangkanlah kepadaku orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?" (Surah Al-Furqaan Ayat 43).

Bagaikan seorang nakhoda yang ditinggalkan kelasi, beliau telah tersadai di sebuah pulau. Laungan dan panggilan beliau kelihatan semakin sayup. Sama banyak, antara didengar dan tidak, beliau kelihatan semakin letih dan berusaha keras mencari kawan baru untuk memperkemaskan kedudukan.

Bagi PAS, kita tiada masalah untuk mendengar. Kita tiada masalah untuk berada sepentas dan bertegur sapa. Sebagaimana Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah kita raikan sewaktu beliau dizalimi di suatu waktu, kita juga boleh menghulurkan simpati yang sama jika Tun Dr Mahathir mempunyai merit yang mencukupi.

Bagai ditegaskan Dato' Seri Presiden PAS, kita sedia mendengar dan meneliti setiap segi dari perkembangan mutakhir. Jika Baginda SAW boleh menerima suaka politik (jiwar) dari seorang bukan Islam sewaktu kembali dari Taif dan pernah pula menerima bantuan dari Abdullah bin Uraiqit, juga seorang bukan Islam untuk menjayakan misi hijrah, maka tidak salah untuk kita membuka langkah ke hadapan dalam pelbagai kemungkinan.

Sebenarnya, mengikuti episod-episod pertikaian hujah antara kem Presiden Umno dengan kem mantan Presiden Umno seakan-akan sama seperti menyemak buku rekod pencapaian anak kita yang dipenuhi dengan tanda-tanda pangkah berdakwat merah.

Ia mendedahkan rakyat tentang satu perkara saja iaitu pemimpin dan parti Umno yang gemar berkhianat. Misalnya, jika di ikutkan Tun Dr Mahathir, kenaikan petrol itu boleh dielakkan sedangkan harga yang telah dinaikkan kerajaan Umno/BN telah dan sedang menghimpit kehidupan rakyat.

Bagi Tun juga, kita tidak memerlukan Islam Hadhari. Yang kita cuma perlukan hanyalah Islam. Dari dua contoh inipun sudah cukup untuk menunjukkan yang Umno sedang meraba-raba dan sedang memimpin rakyat di dalam gelap. Itu baru di dunia.

Kini, perhatilah benar-benar betapa terdapatnya dua set jawapan yang saling mahu dibuktikan benar dan mahu memerangkap, mengeliru dan mempengaruhi kesimpulan rakyat.

Pada saya, mustahil akan ada dua jawapan yang sama-sama betul dalam ketika yang sama. Salah satu mesti salah. Seperti dalam isu jambatan bengkok, bagaimana boleh rakyat menyaksikan keputusan yang tidak pernah mantap.

Sekali buat, sekali tak buat. Sudahnya, tak pasal-pasal, Gerbang Perdana terpaksa diberi pampasan RM300 juta. Duit siapa lagi jika tidak duit rakyat!

Di sinilah rakyat yang semakin cerdik boleh menilai kemanakah mereka telah dipandu selama ini. Rupanya, mereka diajak bersiar-siar dalam sebuah perjalanan mimpi berterowong yang tidak menjanjikan cahaya di hujungnya.

Demikianlah, wawasan 2020 atau lain lain slogan yang telah dicipta dan akan dicipta dari semasa ke semasa. Jika selama ini, rakyat selalu melihat ibu haruan yang ghairah memakan anak-anaknya tetapi kini seakan-akan tiba giliran anak-anak haruan pula yang menyerang. Kali ini, mereka sedang cuba menelan ibunya.

Sikap rakyat Malaysia yang tidak konsisten

Aku ambil artikel ni dari satu ruangang blog yang agak popular.
Bacalah tulisan ini :

Antara Betina Garit dan Janda Gatal

Pada bulan April yang lepas di Dewan Rakyat ahli Parlimen PAS dari Rantau Panjang telah memohon penjelasan berikut dari Menteri Wanita, Shahrizat Jalil:

Saya minta YB sedar atau tidak bahawa janda ada dua jenis, janda yang kematian suami dan janda yang bercerai. Antara katogeri ini berbeza. Janda yang kematian suami lebih berasa insaf dan memiliki air muka yang beriman. Manakala janda yang bercerai lain sikit sebahagian besarnya GATAL. minta penjelasan.

Penggunaan istilah GATAL itu telah menempah maut bagi Fatah. Menteri berkenaan terus melenting dan menganggap beliau biadap lalu menuntut agar Fatah segera menarik balik istilah tersebut.


Betina Garit?

Kekecohon tersebut tidak berakhir di Dewan Rakyat pada hari itu sahaja, ianya terus disambut dan dipanjang-panjangkan oleh pihak media dan akhbar sehinggalah PAS sendiri diseret dan diserang berhari-hari lamanya malah tak selesai sehingga ke hari ini.

Memang kita akui sesiapa pun tidak berhak untuk merendah dan menghina martabat golongan wanita. Lalu siapa sahaja yang menggunakan kesempatan untuk mengeluarkan kata-kata ataupun tulisan yang bermaksud menghina kaum hawa ini perlulah dituntut agar meminta maaf lantaran kebiadapannya itu tidak kiralah samada ia berniat baik atau sebaliknya.

Ketika Dewan Rakyat bersidang pada hari Rabu 28 Jun lepas, satu lagi insiden yang serupa malah saya kira lebih biadap lagi dan memang spesifik ditujukan kepada seseorang telah diucapkan di dalam dewan, malangnya tiada pula reaksi dari sesiapa.

Tidak ada seorang pun ahli dewan yang hadir membuat bantahan termasuklah dari kalangan ahli-ahli wanita malah ahli parlimen yang berkenaan pun tidak membantah.

Dalam hal ini ahli dewan yang mengungkapkan istilah penghinaan itu (tidak seperti Fatah) telah terlepas dan dikira bernasib baik kerana bahasa penghinaan yang beliau gunakan adalah dari loghat Melayu Utara.

Pada hari berkenaan ahli Parlimen Jerai Badruddin Amiruldin ketika menganggu ucapan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, telah melemparkan perkataan:

BETINA GARIT

kepada ahli Parlimen Batu Gajah YB Fong Po Kuan.

Fong dan blok DAP nya tidak membantah kerana barangkali tidak faham akan maksud istilah tersebut. Demikian juga barangkali sebahagian besar ahli parlimen wanita lain yang hadir (atau barangkali ada yang faham tetapi kerana ianya dilemparkan kepada pembangkang maka jadi tak berdosa?).

Saya difahamkan perkataan BETINA GARIT adalah satu istilah buruk (malah orang Utara pun jarang gunakan terhadap wanita lain) yang jika tidak setaraf malah lebih buruk lagi dari maksud GATAL yang digunakan oleh Fatah sebelum ini.

Jadi mana pergi persatuan dan kumpulan wanita, mana pergi Pergerakan Wanita Umno, mana pergi Puteri Umno, Wanita MCA, Wanita MIC , Wanita Gerakan , Wanita DAP dan Muslimat PAS. Mana pergi Sisters in Islam, Ivy Josiah, Marina Mahathir dan lain-lain.

Jangan nampak buruk apabila ianya diucapkan oleh wakil pembangkang tetapi apabila diucapkan oleh wakil BN, ia menjadi OK.

Kalau Fatah dan PAS diserang tanpa belas kasihan lantaran istilah GATAL yang digunakan, takkan Jantan Garit dari Kedah ini dan partinya itu dibiarkan bebas?

Berikut adalah sedutan dari Hansard yang merakamkan kekecohan di dewan pada hari tersebut:

Tuan Yang di-Pertua: Duduk dahulu, Yang Berhormat.

Dato Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Saya tidak akan duduk kalau dia tidak tarik, Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timor]: [Bercakap tanpa pembesar suara]

Dato Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Memang zoolah ini.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timor]: You jaga dalam zoo.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat kedua-dua duduk dan beri peluang...

Dato Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Tua sahaja!

Tuan Yang di-Pertua: ...kepada menteri untuk menjawab. Sila duduk. Sila diam. Ya,
menteri.

Datuk Tan Chai Ho: Tuan Yang di-Pertua, tadi saya sebut selepas tinggal selama lima
tahun di negara kita.

Cik Fong Po Kuan [Batu Gajah]: [Menyampuk]

Datuk Tan Chai Ho: ...barulah warga

Cik Fong Po Kuan [Batu Gajah]: [Menyampuk]

Dato Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Hei garit!

Datuk Tan Chai Ho: Barulah boleh memohon

Dato Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Betina garit!

//

Demikian la yang terjadi.perkataan Betina Garit ni juga membawa maksud yang sama bagi orang Kelate dan Tganu.
Bakpo takdok pulok pihak terlibat ni membangkitkan isu ini??setahu aku suami Dato' Shahrizat Jalil tu adalah orang Kelate,takkan la dia tak tau maksud ni??kenapa dia berdiam diri???

Wednesday, April 26, 2006

Jangan sampai Islam yang tersepit

Saya dimaklumkan berkenaan kejadian ini semalam oleh seorang rakan ahli Parlimen. Kebetulan RTM pula menyiarkan perbahasan berkenaan dalam rancangan Parlimen Hari Ini nya.

Isunya ahli Parlimen Rantau Panjang telah mengeluarkan satu istilah yang agak kasar untuk menyifatkan golongan ibu tunggal yan berpunca dari kes perceraian. Kenyataan beliau dibuat ketika Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga Shahrizat Jalil sedang menggulung perbahasan yang melibatkan kementerian beliau dalam RMK9.



Fatah Harun antara lain mengatakan, yang ibu tunggal kematian suami nampak insaf, tetapi menyifatkan ibu tunggal dari kes perceraian sebagai GATAL.

(Saya akan cuba dapatkan teks sebenar sebaik Hansard nya dikeluarkan , insyallah)

Lalu kenyataan Fatah itu telah dicemuh dan diserang oleh kalangan ahli-ahli Parlimen termasuklah menteri berkenaan dan ahli-ahli parlimen pembangkang dari DAP.

Saya lemas apabila ahli-ahli parlimen dengan mudah mengeluarkan kata-kata yang kasar dan tidak bersopan serta membuat pertuduhan melulu tanpa memelihara sensitiviti pihak lain tak kiralah dari parti mana sekalipun.

Menangkap borong dan membuat pertuduhan sedemikian rupa sesungguhnya menghina golongan wanita yang tidak pernah diamalkan oleh mana-mana pihak yang cerdik tambahan parti Islam yang diwakili oleh ahli Parlimen berkenaan.

Saya yakin kenyataan itu tidak mewakili pandangan parti mahupun pengundi yang mengundi Fatah melainkan pandangan peribadi beliau semata-mata.

Jangan kita ambil kira satu dua kes lalu kita pukul rata semuanya begitu, itu sifir dan sepak terajang penyamun namanya.

Saya harap ahli parlimen berkenaan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kenyataan sedemikian yang akan hanya akan mecacatkan wajah indah Islam yang dikendong dan dibawa oleh PAS.

Tahniah Dewan Muslimat PAS Pusat kerana segera mengeluarkan kenyataan mengasingkan diri dari kenyataan tersebut. Yang hak adalah hak dan yang batil tetap batil.

Sahabat saya Dr Lolo Dato Ghazali mengirim SMS berkenaan kepada saya:

Dewan Muslimat PAS Pusat meletakkan wanita ditempat yang mulia selaras dengan Islam yang memerdekakan dan memuliakan wanita.

Wanita adalah ibu, isteri, adik-beradik dan anak-anak kita sendiri, jadi tiada sebab wanita perlu diserang dan diperlekeh.

Kes-kes negatif yang berlaku secara terasing berlaku bukan kerana wanita itu berstatus janda (ibu tunggal) atau sebagainya tetapi lebih kerana kelemahan individu berkenaan sebagaimana kelemahan yang turut ada pada kaum lelaki termasuklah ahli-ahli Parlimen tidak kira siapun dia.

Pada masa yang sama DMPP membantah keras kenyataan Shahrizat Jalil yang mengaitkan pimpinan PAS sehingga seolah-olah cuba mahu mengajar Presiden PAS cara-cara bagaimana menghormati wanita yang sememangnya merupakan amalan beliau.

(Terima kasih Dr.)


posted by Roslan SMS 12:10:00 PM|Comment (0)|

ini pula petikan dari www.perakan.net

KUALA LUMPUR, 27 April: Dewan Rakyat gamat dengan istilah 'gatal' yang diungkapkan oleh Abdul Fatah Harun (PAS - Rantau Panjang) ibu tunggal yang diceraikan suami.

Abdul Fatah berkata kebanyakan ibu tunggal yang ada pada hari ini disebabkan oleh kematian suami dan disebabkan diceraikan oleh suami.

Katanya lagi, yang ibu tunggal kematian suami 'nampak insaf' tetapi yang kes perceraian di negara ini disebabkan oleh golongan terbabit disifatkan sebagai `gatal'.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu membuat kenyataan itu ketika mencelah ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.


Dewan menjadi gamat apabila Ahli Parlimen wanita Barisan Nasional (BN) dan DAP yang jarang sepakat mengenai sesuatu isu, semalam bergabung tenaga memprotes kenyataan Abdul Fatah Harun (Pas-Rantau Panjang) yang mengaitkan kes perceraian dengan sifat gatal wanita.
Perkataan ‘gatal’ itu mengundang kemarahan ahli Parlimen wanita BN dan DAP yang mahu Abdul Fatah menarik balik kenyataannya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang memulakan serangan terhadap Abdul Fatah dengan menyatakan rasa terkejut ungkapan itu keluar dari mulut wakil Pas yang sepatutnya kuat pegangan agama.


"Saya tidak faham kenapa kata-kata penghinaan itu datang daripada Ahli Parlimen Pas yang selama ini katanya mengamalkan imej Islam, sedangkan Islam menaikkan martabat wanita di mata masyarakat. Ini sangkaan buruk dan saya minta Yang Berhormat tarik balik," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Fatah tetap dengan pendiriannya dan mengatakan beliau hanya menggambarkan sebahagian daripada wanita yang berperangai `tidak senonoh' seperti itu.

"Saya rasa tidak perlu untuk menarik balik kata-kata saya. Memang ada wanita yang menjadi `ibu tunggal' kerana `gatal','' kata beliau.

Sekali lagi, Dewan gamat dan Shahrizat yang masih tidak berpuas hati mencabar Abdul Fatah untuk membuktikan tuduhannya itu.

Dewan sekali lagi kembali gamat apabila Tan Lian Hoe (BN-Bukit Gantang) mencelah dan menggesa Ahli Parlimen Rantau Panjang menarik balik kata-katanya dengan mengatakan perceraian juga disebabkan oleh lelaki yang `gatal'.

Pertikaman lidah itu bukan hanya melibatkan Ahli Parlimen wanita dari Barisan Nasional (BN), tetapi juga dari DAP yang turut menyokong pendirian Shahrizat.

Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) ketika bangun membantah berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang itu tidak tepat dan berniat serong untuk menjatuhkan imej wanita di negara ini.


aku terkejut juga dengan kenyataan YB Fatah ni.aku berasa sgt kecil hati tuduhan yang dibuat ni.dio memalukan kaum wanita dan PAS yang diwakili nya.
aku harap YB Fatah akan tarik semula kenyataan ni dalam Dewan Rakyat dan menjelaskan kenyataan tu adalah pandangan peribadi beliau.
sepatut nya dalam situasi begini,seseorang Ahli Parlimen tidak wajar mengeluarkan kenyataan tanpa bukti yang sahih.
Secara keseluruhan aku sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan.

Macam inikah sikap pemimpin kita??

MB Pahang yang sangat "Berbudi bahasa"

KUANTAN, 26 April - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang pernah dilabel sebagai `samseng' kerana satu gelagatnya pada tahun 2000, Isnin lepas sekali lagi membuat kejutan.

Kali ini Adnan mengeluarkan kata-kata go to hell atau `pergi jahanam' kepada media tertentu kerana dikatakan tersalah lapor ucapannya di Dewan Undangan Negeri pada 21 April.

Dalam ucapan itu Adnan memohon Kerajaan Persekutuan memberi geran tahunan antara RM150 juta hingga RM200 juta kepada Pahang agar negeri itu boleh menghentikan terus aktiviti pembalakan.

Kata-kata go to hell itu dihamburnya sehari kemudian di dalam Dewan, di hadapan wakil-wakil rakyat dan puluhan pemerhati, termasuk sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah.

Adnan dilabelkan `samseng' oleh sesetengah pihak kerana pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Sanggang (21 Mac 2000) beliau menunjukkan isyarat tangan yang ditafsir sesetengah pihak sebagai isyarat lucah kepada pembangkang.

Kejutan lain termasuk menyatakan kesanggupan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-11 (2004) dan `menolak' kurniaan darjah kebesaran daripada kerajaan negeri Melaka.

Kejutan terbaru iaitu menuturkan kata-kata go to hell dibuatnya dengan nada cukup marah kerana menurutnya ``lain yang dikata lain pula yang dilaporkan'', sehingga memberi gambaran seolah-olah beliau mengugut Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya beliau tidak pernah menyebut perkataan `ganti rugi' seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar, sebaliknya hanya memohon Kerajaan Persekutuan memberikan geran antara RM150 juta hingga RM200 juta kepada Pahang kerana terpaksa merezabkan kawasan hutannya untuk kepentingan negara.

Beberapa wakil media yang mengikuti persidangan Dewan Undangan Negeri kelmarin bagaikan terpaku selepas dituding jari dan dihamburkan perkataan go to hell itu sehingga ada yang bertindak keluar Dewan.

Adnan, Menteri Besar Pahang sejak Mei 1999 menggantikan Tan Sri (kini Tun) Khalil Yaakob, semalam secara khusus mendakwa bahawa akhbar yang dimaksudkan beliau ialah Utusan Malaysia.

Akhbar itu pada 22 April menyebut: ``Pahang Mohon Geran RM150j Ganti Pembalakan,Kerajaan Pahang hari ini membuat permohonan yang cukup luar biasa kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan ia menghentikan aktiviti pembalakan di negeri itu.

``Beri bantuan kepada kami, atau balak akan terus ditebang''.

Berikut pula kenyataan Adnan di Dewan Undangan Negeri berhubung perkara itu yang dicatat dan direkodkan pemberita;

``Pembalakan ni kita bersedia untuk memberhentikan aktiviti kalau Kerajaan Persekutuan sanggup membayar ganti rugi. (sambil diberi tepukan gemuruh anggota-anggota Dewan).., reservekan Taman Negara, hidupan, tadahan air yang Pahang akan membekalkan air ke luar Pahang sekitar RM150 hingga 200 juta setahun.

``Itu hasil kita kehilangan walaupun kita boleh kutip dalam RM80 juta setahun, tapi kita memerlukan RM150 hingga RM200 juta setahun kalau Kerajaan Persekutuan boleh bantu RM150 hingga RM200 juta setahun kita boleh simpan hutan, tak payah tebang,'' katanya.

Berikut pula ialah penjelasan lanjut Adnan berhubung perkara itu ketika bercakap kepada pemberita di luar Dewan pada hari berkenaan:

``Kita utarakan kepada Kerajaan Persekutuan pertimbangkan, berikan geran kepada kita dianggar RM150 hingga RM200 juta setahun kerana kita merezabkan taman negara, kawasan tadahan air, kawasan hidupan liar dan tapak Ramsar (kawasan tanah lembab berkepentingan antarabangsa). Jika kita dapat wang itu, kita tak perlu lagi aktiviti pembalakan.''

Ketika bercakap kepada Bernama, TV3 dan RTM semalam, Adnan menjelaskan ungkapan `pergi jahanam' yang dituturkannya adalah sebagai mempertahankan haknya.

Beliau mendakwa, Utusan Malaysia salah memetik beliau dan membuat laporan seolah-olah beliau memberi kata dua kepada PM.

``Ini sepatutnya tidak timbul kerana saya tidak bercakap demikian tetapi dibuat dalam bentuk inverted commas seolah-olah saya berbuat demikian. Yang ini menimbulkan sedikit kegusaran dalam hati saya. Saya terfikir adakah apa-apa agenda di sebaliknya?'' kata Adnan.

Adnan juga mengulas sindiran dalam kolum `Senyum Kambing', Utusan Malaysia semalam yang menyebut: ``Kempen budi bahasa belum sampai ke sana, barangkali.''

Adnan berkata, Pahang negeri pertama melancarkan kempen budi bahasa sebagai menyahut seruan Kerajaan Pusat.

``Tapi soalnya ialah kita kena juga berbudi bahasa dengan orang. Kalau kita cuba dilagakan (sehingga) menampakkan seolah-olah cuba menderhaka kepada PM, kita tidak boleh bersabar lagi. Saya perlu pertahankan hak saya,'' katanya.
dipetik dari Utusan Online 27/5/2006


Aku cukup kesal kerana dalam PM kita dok sibuk hebahkan mengenai kempen budi bahasa,muncul MB Pahang yang merosakkan kempen ni.kalu perkataan ni keluar dari mulut rakyat biasa,orang takkan ambik pusing tapi apabila keluar dari mulut pemimpin dan diucap di dalam Dewan Undangan Negeri(DUN) yang dihadiri oleh pegawai kerajaan dan sekumpulan pelajar,sudah pasti akan menimbulkan satu suasana yang tidak sihat.
Alasan yang diberikan oleh MB Pahang ni ialah dia cuba pertahankan diri dia,tapi cara dia pertahankan diri tu dengan menggunakan DUN????patut kah dia bersikap sedemikian???sedangkan dia menjadi tumpuan ramai orang dalam setiap tutur kata yang diucapkan.

Sebaik-baiknya MB Pahang ni cuba la contohi Tun Dr Mahathir dan Pak Lah (yang kata nya sangat dihormati oleh MB Pahang ni) dalam menangani situasi begini.bukan susah pon,panggil pemberita,buat sidang akhbar lain yang menafikan tuduhan...kan senang dan orang pon akan bertambah hormat kerana "gentleman".kalu macam ni la reaksi yang diberikan..hmmpphhhh,tak lama la kerusi yang dia pegang tu akan goyang.
Mane tak goyang kalu semua rakyat sudah dapat melihat perangai sebenar pemimpin yang dipilih mereka ini adalah dari golongan "gengster".tiada siapa yang mahu pemimpin mereka terdiri dari golongan "gengster".
Kalu aku mintak dia contohi MB Kelantan,TG Nik Aziz, tu nampak payah sgt die nak ikut,jadi sekurang-kurang nya contohi la dulu sikap penghulu dia (Mahathir dan Pak Lah) dalam menangani situasi sebegini.

Arsenal vs Barcelona

Akhir nya Champions League menghampiri perlawanan akhir.pasukan yang layak adalah seperti jangkaan ramai iaitu Arsenal vs Barcelona.aku jugak yang frust.aku memang suka kedua2 team ni,tp aku lebih suka Villareal vs AC Milan kerana "Yellow Sub-Marine" tu ade Juan Roman Riquelme dan Milan mmg pasukan kegemaran aku sejak 10 thn yang lalu.
Tapi bola sepak sesuatu yang sukar diduga.walau pon Villareal berjaya menguasai perlawanan dalam separuh akhir ke 2 menentang Asenal di gelanggang sendiri,tapi takdir sudah menentukan pasukan ini akan kalah.mereka gagal menyumbat sebarang gol.
Tapi AC Milan sudah diduga akan menghadapi kesukaran kerana bermain di tempat lawan dan Barca menunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan tersebut walaupon sudah mendapat bekalan satu gol dari perlawanan pertama.
13 Mei 2006 di Paris,perlawanan akhir akan berlangsung.suatu perlawanan yang sengit pada pendapat aku.

Arsenal pasti akan memberi persembahan terbaik kerana ini adalah final pertama mereka dalam Piala Juara-juara Eropah.sudah pasti mereka ingin membuktikan sesuatu kerana dalam sedekad selepas Arsene Wenger mengemudi The Gunners,mereka telah membuktikan kehebatan mereka dalam EPL dengan memperoleh kejuaraan liga tanpa sebarang kekalahan pada musim 2003/2004,suatu pencapaian yang sangat hebat tetapi mereka tidak berjaya menonjolkan kehebatan mereka dalam peringkat eropah sehingga ada pihak yang membuat andaian Arsenal adalah jaguh kampungan.Tetapi pada tahun ini mereka berjaya merempuh halangan tersebut malah mereka membariskan ramai pemain muda yang hebat.Dengan prestasi di peringkat kelab ni,pemain2 muda ini telah berjaya menempatkan diri mereka di dalam barisan utama pasukan senior negara masing2.

Barca juga tidak mahu ketinggalan dalam merebut kejuaraan ini.dengan kemenangan terakhir pada tahun 1994,sudah pasti mereka mahu membuktikan sesuatu.barisan terbaik yang tersedia dalam pasukan ini pasti akan menjadi empayar kuasa bola sepak eropah.Pemain Terbaik Dunia 2005,Ronaldinho sudah pasti mahukan kejuaraan kali ni adalah miliknya kerana piala ini adalah satu2 nya kejuaraan utama dunia yang beliau tidak pernah miliki.Ronaldinho akan menjadi inspirasi pasukan Barca utk melakar kemenangan.

Monday, April 24, 2006

Di mana silap nya???

Zainah Anwar, Nori Abdullah, Marina Mahathir keliru lagi mengelirukan
Mon | Apr 24, 06 | 03:05:38 PM
Oleh Muhammad Azamin

Saya sering terbaca di laman web dan di akhbar tempatan, pandangan Zainah Anwar, Nori Abdullah dan Marina Mahathir yang sedikit sebanyak mengelirukan khalayak pembaca dan barangkali diri mereka sendiri.

Umum mengetahui, bahawa ketiga-tiganya adalah pendukung kuat 'Sisters in Islam' yang prinsipnya mempertahankan kebebasan hak individu.

Terkini, tulisan Zainah Anwar dalam akhbar berbahasa Inggeris di bawah tajuk 'Seeking justice for Muslim women' yang memperkatakan diskriminasi terhadap wanita Islam dan menyatakan bahawa negara Malaysia mengamalkan aparteid agama (religious apartheid). Polemik ini pada asalnya dimulakan oleh Marina Mahathir apabila pandangannya tersiar di laman web Malaysiakini.com.

Dakwa beliau, undang-undang untuk wanita bukan Islam (sivil) mempunyai kesamarataan dan adil jika dibandingkan dengan undang-undang syariah untuk wanita Islam menjurus kepada sebaliknya.

Ingin dinyatakan bahawa adalah sesuatu yang aneh bagi seorang yang berlatarbelakangkan jurusan kewartawanan dan hubungan antarabangsa seperti Zainah Anwar dan sebagai seorang Islam, dalam hujahnya tidak menyatakan kes-kes ketidak-adilan secara terperinci dan dalil-dalil al-Quran atau Hadis sebagai rujukan yang mana khalayak pembaca atau ahli- ahli dalam bidangnya boleh menguji, membahas, mengkoreksi serta membincangkannya.

Begitu juga di laman web 'Sisters in Islam', segala pandangannya tidak dikukuhkan dengan dalil-dalil yang boleh menyokongnya dan hanya menyertakan jenis surah dan letak duduk ayatnya sahaja.

Dalam displin ilmu, apa jua sahaja ilmu, ia mesti disandarkan dengan rujukan, fakta dan huraian terperinci tentang sesuatu isu, tetapi tidak didapati dalam kenyataan dan pandangan mereka ini.

Setelah di perhatikan secara asasnya tulisan serta pandangan Zainah Anwar, Marina Mahathir mahupun 'Sisters in Islam' adalah menjurus kepada buah fikiran mereka sendiri yang berlandaskan emosi semata-mata tanpa merujuk kepada apa-apa fakta.

Seperkara yang unik dan ganjil terhadap Zainah Anwar dan Marina Mahathir juga 'Sisters in Islam' ialah setelah melemparkan tohmahan, kritikan, tuduhan dan ketidakpuasan hati, tidak pula memberi saranan-saranan, cadangan-cadangan mahupun idea-idea yang dirasakan bernas bagi memperbetulkan ketidak adilan (jika benar) terhadap wanita Islam.

Tidak berhajat untuk mengupas panjang atau membariskan semua kenyataan mereka ini untuk dipatahkan hujah, memadai dikutip beberapa bait-bait perkataan dilaman web 'Sisters in Islam' di bawah tajuk Pakaian dan Wanita Islam iaitu :-

1. Masalah pakaian wanita memang selalu merupakan perkara yang penting dalam pelaksanaan Syariah Islam, baik di negara ini mahupun di luar negara. Malah ada pihak-pihak tertentu secara berlebih-lebihan menganggap cara berpakaian tertentu itu mencerminkan iman seseorang.

2. Salah satu kesan obsesi yang demikian itu adalah banyaknya usaha yang dilakukan bagi menguatkuasakan keimanan melalui cara-cara kuku besi. Paksaan bercanggah dengan semangat al-Quran yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22)".

3. Kaum wanita telah diberitahu bahawa suatu cara berpakaian yang tertentu akan melindungi mereka dari kejahatan. Namun hakikat sosial menunjukkan bahawa cara berpakaian tidaklah mampu melindungi kaum wanita dari keganasan nafsu lelaki". (petikan penuh dalam www.sisterislam.org.my)

Jelas kelihatan di dalam kenyataan tersebut ia bersifat sembrono,melulu dan kabur yang diasaskan secara emosi semata-mata.

Lihatlah petikan yang pertama (1), ada pihak-pihak tertentu secara berlebih-lebihan menganggap cara berpakaian tertentu itu mencerminkan iman seseorang.

Siapakah yang dimaksudkan 'pihak-pihak tertentu' tersebut? Para ulama, ustaz, ustazah, pihak berkuasa, kerajaan, rakyat?

Atau yang dimaksudkan 'pihak -pihak tertentu' ialah Allah SWT sendiri, yang mewahyukan perintah menutup aurat tersebut dalam ayat 59 Surah Al-Ahzab yang mana Allah berfirman :-

"Wahai Nabi (Muhammad s.a.w.), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang beriman) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah maha pengampun lagi maha pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu)."

Ini kata-kata Allah, bukannya rekaan, permintaan atau pemberitahuan kaum lelaki kepada kaum wanita.Sekiranya Tuhan yang ingin dipertanggunjawabkan, maka saya pulangkan kembali untuk khalayak pembaca menilai sendiri sikap dan pendirian mereka ini.

Petikan kedua (2), menguatkuasakan keimanan melalui cara-cara kuku besi. Paksaan bercanggah dengan semangat al-Quran yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22)".

Benarkah iman seseorang dikuatkuasakan dengan cara kuku besi? Jika benarlah, tentulah Zainah Anwar orang yang pertama dihukum penjara, denda atau dicakar mukanya dengan kuku kerana tidak bertudung.

Tetapi lihatlah betapa bebasnya Zainah Anwar dengan gaya tersendiri malah berupaya menuduh pula Islam dan pengamalnya secara sesuka hati.

Berkaitan tentang kenyataan "paksaan bercanggah dengan semangat al-Quran yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22)".

Saya berpendapat bahawa Zainah Anwar atau 'Sisters in Islam' telah tersalah raba tentang surah yang dimaksudkan.

Surah-surah tersebut memberi kefahaman bahawa 'Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam. Ditujukan kepada umat Islam agar tidak memaksa orang bukan Islam menganuti agama ini.Sila lihat sirah petikan surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud "tiada paksaan dalam agama."

Adalah suatu kebiadapan apabila seseorang memutarbelitkan maksud atau tafsiran ayat tersebut demi kepentingan diri dan cuba menyesuaikan ayat tersebut dengan prinsip dangkal yang mereka miliki.

Manakala petikan (3) pula ialah "Namun hakikat sosial menunjukkan bahawa cara berpakaian tidaklah mampu melindungi kaum wanita dari keganasan nafsu lelaki."

Sekiranya pandangan ini bersandarkan hukum logik semata-mata, apalah gila dan mabuknya mematuhi peraturan jalan raya seperti penunggang motosikal perlu memasang lampu pada siang hari sedangkan terbukti kemalangan motosikal semakin lama semakin meningkat malah bertambah buruk dan Malaysia adalah salah satu negara yang terburuk kadar kemalangannya.

Fakta meningkat keganasan, kemalangan bukanlah menjadi satu alasan (escapism) untuk mengabaikan peraturan atau tidak perlu kepada peraturan tersebut.

Harus diingat bahawa hukum pakaian Islam bagi wanita Islam, bukan merupakan satu arahan dari mimpi kaum lelaki yang apabila terjaga keesokan hari lantas memerintahkan kaum wanita berpakaian comel agar boleh membendung nafsu lelaki.

Hukum ini adalah perintah dan arahan Allah SWT kepada semua umat Islam baik lelaki mahupun wanita dan dipandu serta ditegas pula oleh hadis Rasulullah s.a.w.

Terpulanglah kepada Zainah Anwar, Nori Abdullah dan Marina Mahathir untuk mengabaikan perintah Tuhan kerana percaya kepada kebebasan hak (sedangkan hak individu pun adalah kepunyaan Allah).

Cuma untuk episod-episod yang mendatang, janganlah mengheret khalayak pembaca dengan buah fikiran yang berpusing-pusing tak berkesudahan.

Teringat seorang tua berkata: "Punca anak kecil merengek dan menangis kerana lapar, dahaga dan sakit. Selain itu hanya sekadar inginkan perhatian dan jangan dilayan sangat, nanti bertambah mengada-ngadanya."

Saya pulangkan semula kepada sesiapa untuk mencantas hujah.

Yang terbaik datang daripada yang Maha Esa manakala yang buruk, silap dan lemah datang daripada saya sendiri.

Nota: Tujuan ulasan ini adalah kerana saranan rakan agar memperbetulkan pandangan khalayak pembaca terhadap Islam yang telah diputar belitkan oleh kenyataan mereka ini. Insya-Allah, ada kesempatan, artikel seumpama ini akan menyusul lagi bagi memperbetulkan kekeliruan terhadap Islam yang ditimbulkan oleh orang Islam sendiri. - lanh


Artikel ini dipetik dari HarakahDaily.

Aku sendiri sangat bingung memikirkan keceluparan Sister In Islam ni dalam mencelarukan pemikiran umat Islam negara ini.Siapa mereka ini untuk membincangkan perkara yang jelas nas-nas nya di dalam Al-Quran dan Hadith.perbuatan mereka seolah2 mencabar kebijaksanaan Allah tetapi menyandarkan kononnya hujjah mereka disandarkan kepada Al-Quran.

Wednesday, April 19, 2006

Bola itu bulat

Aku ngantuk nih,malam tadi aku tgk Arsenal vs Villareal,tapi aku tengok separuh masa je.separuh masa kedua tu aku dah lena dibuai mimpi.Malam sebelum tu aku tengok AC Milan vs Barcelona.aku sokong Villareal ngan AC Milan,kedua-duanya kalah dalam perlawanan tersebut dengan jaringan 1-0,tapi AC Milan lebih malang kerana kalah di tempat sendiri.kehebatan Barca jelas dimonopoli oleh Ronaldinho.mamat ni memang patut menjadi Pemain Terbaik Dunia 2005 pon kerana berjaya membimbing negara dan kelab mencapai kejayaan yang sangat besar selain memberi keseronokan dalam bolasepak melalui kemahiran individu yang sangat mengagumkan.memang bola tu bulat dan kehidupan ni bukan nya mengikut kehendak kita,kita yang perlu mengikut putaran kehidupan dan cuba membiasakan diri dengan suasana tersebut.
Dalam Islam selalu ditekankan konsep syukur,kita perlu sabar dan bersyukur dengan segala apa yang berlaku kepada kita kerana setiap yang terjadi semestinya ada hikmah yang terselindung.
Seperti perlawanan bola semalam,walau pon aku agak kecewa kerana pasukan sokongan aku kalah,tapi persembahan pihak lawan yang lebih hebat berjaya menghiburkan hati aku ni.

Friday, April 14, 2006

Kelantan yang MISKIN kalahkan Selangor yang MAJU



Hampir kesemua negeri dalam Persekutuan Malaysia telah menswastakan sistem bekalan airnya. Matlamat penswastaan itu adalah agar bekalan air disatu-satu negeri kelak akan diuruskan secara cekap dan efektif demi kepentingan rakyat jelata.Di Selangor urusan bekalan air ini telah diswastakan kepada SYABAS manakala di Kelantan sungguhpun telah diswastakan juga namun syarikat tersebut iaitu Syarikat Air Kelantan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.Ahli EXCO kanan Kelantan Dato Hj Husam Musa semasa membentangkan kertasnya:Membangun Bersama Islam Pengalaman Kelantan dalam Kongres Ekonomi Nasional 2006 di Subang Jaya baru-baru ini mengatakan walaupun bekalan air di Kelantan turut diswastakan namun masih dimiliki kerajaan negeri bertujuan bagi mengimbangi keperluan pengurusan yang cekap dan kos air yang tidak membebankan kerana keuntungan melampau pemilik swasta.Husam menegaskan ternyata model pengurusan air Kelantan terbukti berjaya apabila analisa kewangan menunjukkan Syarikat Air Kelantan berjaya menyediakan tariff air kedua terendah dalam Negara iaitu pada kadar RM0.55sen per meter padu berbanding Selangor pada kadar RM0.72 sen per meter padu.Di antara tempoh tahun 1960-2000, Kelantan hanya membuat kajian semula kadar tariff air sebanyak 3 kali berbanding Selangor sebanyak 5 kali.Dan yang paling menarik adalah apabila Husam mengatakan Air Kelantan Sdn. Bhd. yang diurus secara telus telah berjaya mengekalkan margin keuntungan yang stabil pada kadar 26% sejak tahun 2001 berbanding Selangor yang mencatatkan kerugian besar 104% !Dari segi kos operasi dan penyelengaraan per akaun setahun, Kelantan adalah antara yang terendah. Bagi tahun 2003 kos penyelengaraan per akaunnya adalah RM248 berbanding Selangor RM962.Apa macam Khir? Sepatutnya Selangor Maju jauh meningalkan Kelantan yang dianggap antara negeri TERMISKIN di Malaysia, nampaknya dari segi kecekapan dan ketelusan negeri MISKIN berjaya mengalahkan Negeri Maju!
dipetik dari blog Roslan SMS Corner

Bukan aku hendak menjadi jaguh,tapi kenyataan sebegini patut nya rakyat kita melihat secara positif.Ulamak juga mampu memimpin negeri dengan baik.Aku sangat berkeyakinan dengan kepimpian TG Nik Abdul Aziz.

Membangun bersama Islam
Allahu Akbar

Thursday, April 13, 2006

Aku mula nak menulis

Aku ni orang biasa je,setakat ni aku tengok takde laki kaki aku bertambah jadi 3.hehehe...lawak bodoh dah.Aku ni suka sangat baca blog orang lain,terutama blog kawan2 aku.kadang2 aku bagi komen panjang2 sampai diorang mintak aku wat blog sendiri.jadi ni la aku nak mencuba menulis ni.
Aku tak tau aku ni cenderung ke arah mana,tapi wat masa sekarang ni aku cenderung untuk menulis mengenai bolasepak dan politik tanah air kita,ye lah,memandangkan Piala Dunia 2006 dan perlawanan akhir Champions League makin dekat ni,jadi semakin hangat la isu bola ni,tambahan pula dalam EPL tu Man U macam bleh kejar Chelsea,jadi persaingan sangat sengit.Politik tanah air plak sekarang dok heboh psl pembatalan Gerbang Selatan @ Indah.
Aku berasa agak tertarik ngan isu2 ini.aku dah blank ni,nanti aku sambung balik

Wednesday, October 05, 2005

Permulaan


Sebagai permulaan,biar la kereta aku menjadi pengenalan.hehe...Ni adalah blog pertama aku.Tak tau nak tulis ape lagi.